AHLAN WASAHLAN~ JAZAKALLAHU KHAIRAN KASIRAN

ASSALAMUALAIKUM geng~

Wednesday, February 2, 2011

Calon-Calon Pemuda Pilihan

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang..
"Berikanku sepuluh orang pemuda, maka akan ku goncangkan dunia.."
– Presiden Pertama Indonesia,Bung Sukarno.
PEMUDA.. itulah kuasa seorang PEMUDA.. mereka bukan seperti pemuda biasa-biasa, bukan juga lelaki dalam kebanyakan manusia, tetapi merekalah PEMUDA harapan BANGSA, RIJAL impian AGAMA..
"Harapanku ialah agar rumah ini penuh dengan lelaki-lelaki seperti Abu 'Ubaydah ibn al-Jarrah, Muaz ibn Jabal dan Salim budak suruhan Abu Huzaifah, agar mereka semua dapat digunakan bagi meninggikan kalimah Allah!!"
- Khalifah Islam ke-2, Umar Al-Khattab
SubhanAllah, lelaki mana yang tidak mahu bercita-cita menjadi seperti ini?
Mustahil.. Jika mereka tiada berkeinginan untuk berusaha menjadi ke arah itu, mereka bukanlah PEMUDA yang digambarkan oleh Bung Sukarno, mereka bukanlah RIJAL yang dimahukan oleh Amirul Mukminin.. mereka hanyalah insan biasa-biasa, bukan INSAN LUAR BIASA.
"Kami kisahkan kepadamu (Muhammad) cerita ini dengan benar. Sesungguhnya mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambah pula untuk mereka petunjuk.." - Surah Al-Kahfi [18:13]
Ya Allah, bukan mudah untuk menjadi pemuda seperti itu, tetapi ia bukanlah satu perkara yang ganjil dan janggal dalam dunia sejarah kegemilangan Islam.
Lihatlah Sultan Muhammad Al-Fateh, Usamah bin Zaid, Salahuddin Al-Ayyubi, pemuda-pemuda Al-Kahfi, Saidina Ali, Imam Syafie' dan ramai lagi pemuda kebanggaan agama dalam sejarah kegemilangan Islam.
Mereka semua PEMUDA, mereka semua hampir sebaya kita.. mereka semua bercita-cita.. tetapi bukanlah bercita-cita sekecil jiwa kita, cita-cita mereka HEBAT.. impian mereka BERSEMANGAT.
SubhanAllah, bukti apa lagi yang kita mahukan untuk membuktikan pemuda seperti kitalah yang seharusnya bangun dari lena, sedar dari angan-angan yang sia-sia, bangkit dari alam maya ke alam yang nyata.
Siapa lagi yang akan jadi PENDOKONG UTAMA AGAMA, jika bukan dari dalam kalangan pemuda itu sendiri.
Andalah PEMUDA harapan AGAMA itu!
Lihatlah realiti masa kini.. pemuda kian longlai, pemuda semakin kusut masai, pemuda mudah dihina, pemuda senang dicerca.. pemuda tiada wawasan diri, pemuda tiada pegangan AGAMA yang sejati..
Ya Allah..
Katakanlah dalam diri, kamilah PEMUDA PEJUANG, PEMUDA yang bukan hanya duduk senang lenang, PEMUDA harapan AGAMA, PEMUDA perubahan identiti BANGSA.. kamilah orangnya!
Kamilah RIJAL yang ditungu-tunggu kehadirannya.. kami!!
Ya, kamilah orangnya, katakanlah dalam diri.. tekadkan dalam sanubari.. tanamkan dalam hati.
Justeru, untuk berubah dari seorang lelaki biasa kepada PEMUDA LUAR BIASA ini, ada satu perkara yang amat penting untuk kita sama-sama telitikan. Apakah ia?
Itulah HATI ..
"Dan sesungguhnya Tuhanmu, benar-benar mengetahui apa yang disembunyikan hati mereka dan apa yang mereka nyatakan.." - Surah An-Naml [27:74]
Jika seorang tentera itu mahu kekuatan dalam dirinya, latihan FIZIKAL merupakan latihan utama.
Begitu juga seorang PEMUDA. Jika dia mahu kekuatan rohani dalam dirinya, latihan HATI merupakan latihan yang asasi.
Untuk menjadi PEMUDA penyumbang dalam usaha menggapai 'ustaziatul'alam, HATI perlu bersih, HATI perlu jernih .. bersih dan jernih dari kufur serta segala macam kemaksiatan.
HATI itu ibarat kubu sebuah istana. Kita perlu mempertahankan kubu kita daripada diceroboh oleh Syaitan dan Iblis Laknatullah yang durjana.. kita perlu ada cara dalam mengawalnya. Kita perlu ada strategi untuk mempertahankannya.
Apakah cara dan strateginya?
Kita perlu mempertahankan pintu masuk kubu istana. Itulah strategi utama. Jika ini kita mampu lakukan, nescaya tentera-tentera Syaitan dan Iblis pasti sukar untuk menceroboh masuk ke dalam istana.
Persoalannya sekarang, apakah pintu-pintu masuk kubu tersebut? Atau secara realitinya, apakah pintu-pintu masuk Syaitan dan Iblis ke dalam hati kita??
Pintu-pintu masuk tersebut adalah sifat-sifat kita sendiri..
Sifat hasad dengki, ammarah yang keterlaluan, sifat suka bermusuh-musuhan, malas, pengotor, pengeji.. itu semua adalah sebahagian pintu-pintu masuk 'kubu istana'.
Kawallah pintu masuk tersebut, nescaya selamatlah istana, kawal sifat-sifat mazmumah tersebut, nescaya selamatlah hati kita.
Itulah analoginya.. mudah untuk hadam dalam fikiran, tetapi payah untuk dilaksanakan.
Berusahalah untuk mendapat HATI yang suci, bersungguhlah demi memperolehi pangkat PEMUDA yang disegani RABBI .. nescaya pasti ada bahagian untukmu di Akhirat nanti. Percayalah!
Ayuh PEMUDA!!
Ayuh kita semarakkan semangat. Semangat yang kian lama terpendam, semangat yang sudah lama tertanam!
Jangan biarkan ia begitu sahaja, nescaya menyesal kamu di suatu ketika!
Gunakanlah jiwa pemuda kamu di tempat yang sepatutnya, di tempat yang membanggakan Islam, di tempat yang diredhai AS-SALAM.
Moga pemuda-pemuda pilihan seperti kita semua ini, bertemu gembira bukan sahaja di alam duniawi, malah bertemu riang di Syurga Firdausi. Insya-Allah.
Alhamdulillah.