AHLAN WASAHLAN~ JAZAKALLAHU KHAIRAN KASIRAN

ASSALAMUALAIKUM geng~

Wednesday, March 16, 2011

Sesuatu yang berkaitan dgn 23/3~

Selalunya apabila diuji kita akan melihat ujian itu sebagai satu seksaan atau malapelaka yang kadangkala menyebabkan kesedihan atau kegusaran yang melampau-lampau. Kita menangis semahu-mahunya, bercerita tidak henti-henti dan menyalahkan diri sendiri dan orang di sekeliling yang boleh disalahkan. Terlalu cepat kita melatah. Terlalu singkat sekali pemikiran kita yang pada dasarnya dilapisi ilmu agama. Tanpa kita sedari mungkin ini petanda rendahnya iman.
Di luar kotak musibah, boleh sahaja kita menasihati orang lain agar bersabar, supaya berserah kepada Allah SWT, bertawakkal dan redha dengan qada' dan qadar tetapi lihatlah saja berapa ramai antara kita yang akhirnya memakan kata-kata sendiri apabila dihembus angin musibah. Kata-kata nasihat yang bersemangat keluar daripada mulut kita sendiri kini pudar dan longlai dipukul ujian dunia. Mungkin ada yang berkata "Tak rasa mana tahu. Kena batang hidung sendiri baru tahu."
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لِمَ تَقُولُونَ مَا لا تَفْعَلُونَ
"Wahai orang-orang beriman, mengapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu lakukan?"
(Al-Shaf:2)
Mengapa ini terjadi?
Mengapa ada di antara orang-orang yang terlebih dulu 'makan garam' dan mereka yang dalam ilmu kefahamannya tentang hakikat dan takdir Allah SWT juga tidak terlepas dari berkelakuan demikian walaupun mereka mengetahui tentang ilmu agama? Mereka sepatutnya lebih arif bukan?
***
Ini kerana kita tidak bercakap soal ilmu. Kita bercakap berkenaan satu kuasa yang jauh lebih kuat daripada ilmu yang tersimpan di dalam akal fikiran. Kita bercakap tentang hati. Organ yang menjadi raja kepada tubuh kita dan jika baik hatinya maka baiklah keseluruhannya.
Hati yang membimbing kita untuk menjadi kuat dan tabah dalam menghadapi kesusahan atau ujian daripada Allah SWT. Kerana di hati tersimpannya keyakinan yang tidak mungkin muncul melalui ilmu pengetahuan yang kita perolehi semata-mata. Keyakinan daripada hati itu terbit tidak lain tidak bukan bersama iman . Iman yang datang daripada ilmu pengetahuan kita yang disertai amalan. Disebabkan itu, mengetahui tidak semestinya meyakini lantas boleh dizahirkan keyakinan itu dengan perbuatan.
Mengetahui itu berpangkalan di otak manakala meyakini berpangakalan di hati dan bersangkutan dengan perihal iman seseorang. Oleh yang demikian, boleh sahaja kita menyuruh seseorang bersabar menghadapi kematian ibu atau ayah tersayang, kurang berjaya dalam pelajaran atau difitnah rakan sekerja dan pasti orang yang ditimpa musibah itu juga tahu dia harus bersabar, tetapi setakat mana kemampuannya untuk bersabar. Kemampuan itu ditentukan oleh kekuatan hati dan keyakinan terhadap takdir, qada' dan qadar' dan janji-janji Allah SWT.
Tidak yakinkah kita perjuangan kita iaitu bersabar dan terus mentaati perintah Allah SWT ini akan di balas dengan balasan yang lebih baik?
Jika kita tidak berupaya untuk bersabar maka kitalah yang harus dipersalahkan kerana tidak yakin. Tidak yakin dengan janji Allah SWT dan lemahnya kita dalam mengenal sifat-sifat Allah SWT. Kita mungkin fasih melaungkan Asma-ul-husna tetapi mungkin juga gagal dalam meyakini kebenaran nama-nama agung yang basah di lidah kita. Apabila difikirkan kita mungkin rasa malu, terlalu daif dan kerdil hendak mencongak iman yang tidak tahu di mana tahapnya. Disebabkan itulah, kadangkala kita selalu gagal untuk bertenang apabila berhadapan dengan konflik di dalam kehidupan seharian.
Benarkah cinta kita kepada Allah SWT jika kita gagal untuk pecaya dan yakin akan sifat-sifat Allah SWT?
Keyakinan itu hakikatnya berada pada tahap yang asas dalam beragama. Rukun iman sendiri berkisar tentang kepercayaan yakni keyakinan kita kepada enam perkara utama. Enam perkara ini sememangnya adalah perkara-perkara ghaib yang tidak boleh kita lihat dengan mata kasar kecuali dengan petunjuk iaitu di dalam Al-Quran. Mengapa perkara ghaib? Kerana Allah SWT hendak menguji keyakinan kita. Yakni haqqul yakin, keyakinan sepenuh hati tanpa melibatkan bukti atau akal. Keyakinan yang diharapkan ini juga membawa maksud berserah kepada kepada Allah SWT tanpa bersebab atau bukti.
***
Sewaktu peristiwa Israk Mikraj, betapa ramainya insan yang tidak yakin dengan kenyataan Nabi SAW bahawa beliau telah dijalankan oleh Allah SWT di waktu malam ke Masjid Al-Aqsa daripada Masjidil Haram pada malam yang sama diangkat hingga ke Sidratul Muntaha. Menurut tafsiran Sya'rawi, ramai yang tidak percaya sehingga ada yang murtad sementara golongan kafir Mekah lebih ke arah memaksa Nabi SAW mengaku yang perjalanan itu cumanya perjalanan roh yakni mimpi dan bukan jasad kerana ianya lebih logik dan boleh diterima akal.
Namun di kala itu, Abu Bakar sahabat Nabi SAW menerima berita itu dengan penerimaan seorang mukmin yang membenarkan peristiwa itu.
"Jika Muhammad SAW berkata demikian maka dia benar." Kemudian dia berkata lagi,"Bahkan kita mempercayainya jika dia mengatakan yang lebih jauh dari itu, kita telah mempercayainya dalam hal berita langit (wahyu), lalu bagaimana kita tidak mempercayainya dalam hal ini?"
Sayu memikirkan betapa tingginya iman Abu Bakar yang diterjemahkan melalui keyakinannya yang penuh kepada Rasulullah SAW tanpa memerlukan bukti atau dalil. Begitukah kita? Hikmah kejadian Israk' Mikraj ini tidak lain tidak bukan adalah sebagai ujian keimanan dan permbersihan keyakinan manusia sehingga tidak menetap orang-orang disekeliling Rasulullah SAW melainkan mereka yang memiliki keimanan dan keyakinan yang kuat yang tidak dapat digoyahkan.
***
Kisah pemuda-pemuda Ashabul Kahfi sekali lagi mengajar kita tentang keimanan. Perjuangan mereka melarikan diri ke sebuah gua yang secara zahirnya adalah sempit bagi menyelamatkan akidah dan keimanan juga berdasarkan prinsip keyakinan.
Cuba kita bayangkan mereka semua berlindung di dalam gua dan meninggalkan semua harta, keluarga dan segala-galanya yang mereka miliki. Mereka hanya mempunyai agama yakni keimanan dan pergi ke tempat yang sempit yang di dalamnya tiada ada sesuatu yang boleh menjamin kehidupan mereka. Namun sedikit tidak terdetik di hati mereka untuk gusar dan risau ketika itu kerana mereka yakin mereka mempunyai Tuhan yang akan menguruskan semua urusan mereka dan mereka cuma berdoa sepenuh hati.
Kemudian Allah SWT menjawab doa mereka. Allah SWT menghadiahi keimanan mereka dan mencukupi keperluan mereka dengan sesuatu yang diluar logik akal.
فَضَرَبْنَا عَلَى آذَانِهِمْ فِي الْكَهْفِ سِنِينَ عَدَدًا
"Maka kami tutup telinga mereka beberapa tahun dalam gua itu."
(Al-Kahfi: 11)
Mengapa ditutup telinga? Kerana Allah SWT mahu membenarkan mereka tidur yang tidak akan diganggu dengan apa sekali pun kerana telinga merupakan organ yang masih berfungsi di kala kita masih tidur. Dengan tertutupnya telinga, Allah SWT menidurkan mereka selama kurang lebih 309 tahun sekaligus mencukupkan keperluan mereka untuk hidup sedangkan mereka tidak sedar langsung akan hal itu.
Mengapa mereka dibantu? Kerana keyakinan dan keteguhan hati dalam beriman kepada janji Allah SWT dan beramal untuknya.
وَرَبَطْنَا عَلَى قُلُوبِهِمْ إِذْ قَامُوا فَقَالُوا رَبُّنَا رَبُّ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضِ لَنْ نَدْعُوَ مِنْ دُونِهِ إِلَهًا لَقَدْ قُلْنَا إِذًا شَطَطًا
"Dan kami telah meneguhkan hati mereka di waktu mereka berdiri lalu mereka berkata, 'Tuhan kami adalah Tuhan langit dan bumi; kami sekali-kali tidak menyeru Tuhan selain Dia, sesungguhnya kami kalau demikian, telah mengucapkan perkataan yang amat jauh dari kebenaran."
(Al-Kahfi: 14)
***
Lalu apa yang menghalang kita daripada meyakini janji Allah SWT? Tidak cukupkah pengajaran di dalam Al-Quran mengenai janji-janji Allah SWT yang tepat. Kita terbiasa melihat medium atau alat yang digunakan untuk menguji kita sebagai penyebab utama dan bukanlah Allah SWT. Dalam ayat yang lebih ringkas kita mahu "someone to be blame". Lemah benar iman kita. Sedar tidak sedar kita sudah terlalu terbiasa menjadikan manusia, kejadian atau material sebagai sebab terjadi sesuatu. Kita gagal dalam meyakini semuanya datang dari Allah SWT dan ini semua hanyalah ujian. Hati ini terlalu keras untuk memahami yang semua ini berlaku hanya kerana Allah SWT mahu ianya berlaku kerana jika Allah SWT mentakdirkan sesuatu ke atasmu, nescaya seluruh cakerawala akan bekerjasama menjalankan 'kun' Allah SWT itu, tetapi seandainya tidak ditakdirkan berlaku, bekerjasamalah keseluruhan jin dan manusia tetap ianya tidak akan berlaku.
Takdir Allah SWT itu sudah tertulis. Apabila dikunjung kesempitan, masalah, konflik, ujian, kesedihan, musibah yang menggoncang keyakinan kita haruslah kembali kepada Allah SWT. Tidak usah berterus-terusan melawan takdir dan menyalahkan dunia sekeliling. Kita diuji kerana Allah SWT masih sayangkan kita dan masih mahu menunjukkan jalan yang lurus kepada kita agar tidak dibiar hanyut, leka dan alpa dalam keseronokan. Kegembiraan sementara yang belum tentu baik buruknya.
Yakinlah kepada sesuatu yang hilang. Sahabat, kepercayaan, harga diri, saudara, kegembiraan, kebiasaan, kemewahan, maruah, keyakinan diri atau anak akan digantikan dengan perkara yang lebih baik. Yang pasti yakinlah kita, seyakin-yakinnya barulah Allah SWT akan memberi yang terbaik kepada kita. Bukankah Allah SWT itu mengikut sangkaan kita terhadapNya?
Kesimpulan
Di dalam kisah Nabi Musa, Allah SWT memberi jaminan kepada bonda Nabi Musa apabila dia perlu menghanyutkan Nabi Musa ke sungai. Dalam jaminan Allah SWT telah menyebut Dia menguatkan hati bonda Nabi Musa supaya imannya menjadi kuat dan mampu bersabar serta percaya kepada janji Allah SWT kerana secara logiknya ibu mana yang sanggup menghanyutkan anaknya sendiri di dalam sungai. Sesungguhnya Allah SWT telah yang memberi ilham dan keyakinan itu.
وَأَصْبَحَ فُؤَادُ أُمِّ مُوسَى فَارِغًا إِنْ كَادَتْ لَتُبْدِي بِهِ لَوْلا أَنْ رَبَطْنَا عَلَى قَلْبِهَا لِتَكُونَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ
"Dan hati ibu Musa menjadi kosong. Hampir saja dia menyatakan rahsia tentang Musa seandainya tidak Kami teguhkan hatinya, agar dia termasuk orang-orang yang beriman kepada janji Allah SWT. "
(Al-Qashash:10)
Syaratnya kita harus berada di dalam kategori orang beriman yakni yakin. Di dalam surah Al-Fath Allah SWT menyebut sekiranya Dia mengetahui keimanan ada di dalam hati salah seorang hambanya, pasti Dia akan menurunkan ketenangan ke dalam hati orang itu pada saat terjadinya musibah.
لَقَدْ رَضِيَ اللَّهُ عَنِ الْمُؤْمِنِينَ إِذْ يُبَايِعُونَكَ تَحْتَ الشَّجَرَةِ فَعَلِمَ مَا فِي قُلُوبِهِمْ فَأَنْزَلَ السَّكِينَةَ عَلَيْهِمْ وَأَثَابَهُمْ فَتْحًا قَرِيبًا
"Sesungguhnya Allah reda kepada orang mukmin ketika mereka berjanji setia kepadamu di bawah pohon, maka Allah mengetahui apa yang ada di dalam hati mereka lalu menurunkan ketenangan atas mereka dan memberi balasan kepada mereka dengan kemenangan yang dekat (waktunya)."


(Al-Fath:18)
 Renungan
Ketika Nabi Ibrahim mahu meninggalka Siti Hajar di tanah gersang dan kontang yang mana tidak ada hidupan pun di situ, Siti Hajar bertanya, "Disinikah kami ditinggalkan? Apakah kamu meninggalkan kami di sini atas pilihanmu atau atas pilihan Tuhan?"
Ibrahim menjawab: "Ini adalah perintah Allah SWT."
Hajar membalas dengan yakin:  "Kalau begitu kami tidak akan ditelantarkanNya."

No comments:

Post a Comment